Steamboat Willie
Steamboat Willie ialah sebuah filem pendek animasi yang keluar pada 18 November 1928, sebagai kartun Mickey Mouse ketiga, selepas Plane Crazy (keluar enam bulan dahulu) dan The Gallopin' Gaucho (dihasilkan dahulu, tetapi keluar selepasnya). Inilah kartun Disney pertama yang diisi bunyi segerak (synchronized sound ).[1] Disney menggunakan sistem Cinephone rekaan Pat Powers yang menggunakan sistem Phonofilm Lee De Forest tanpa memberikan apa-apa penghargaan kepada De Forest. Tayangan perdana Steamboat Willie diadakan di 79th Street Theatre, New York[2] dan mengatasi sambutan filem cetera Gang War .
Steamboat Willie | |
---|---|
Pengarah | Walt Disney Ub Iwerks |
Cerita oleh | Walt Disney Ub Iwerks |
Dihasilkan oleh | Walt Disney Roy O. Disney (rakan-rakan) |
Dibintangi | Walt Disney |
Muzik oleh | Wilfred Jackson Bert Lewis |
Syarikat penerbitan | |
Diedarkan oleh | Columbia Pictures |
Tarikh tayangan |
|
Masa tayangan | 7:47 |
Negara | Amerika Syarikat |
Bahasa | Inggeris |
Kartun ini diarah oleh Walt Disney.[3] Judulnya mengajuk filem Buster Keaton iaitu Steamboat Bill Jr. Muzik dalam Steamboat Willie digubah oleh Wilfred Jackson, yang dikatakan salah seorang juruanimasi Disney, dan terkandung melodi-melodi terkenal termasuk "Steamboat Bill" dan "Turkey in the Straw ".
Filem tersebut menerima sanjungan kritis yang meluas dan bukan sahaja kerana memperkenalkan salah satu watak kartun paling popular di dunia tetapi juga kerana reka baru tekniknya. Para juruanimasi mengundi Steamboat Willie sebagai kartun ke-13 terbaik sepanjang masa dalam buku 1994 The 50 Greatest Cartoons (50 Kartun Terbaik), dan pada tahun 1998, filem tersebut terpilih oleh Perpustakaan Kongres Amerika Syarikat untuk dipelihara dalam Pejabat Pendaftaran Filem Kebangsaan.[4] Sebagai karya yang diterbitkan pada tahun 1928, kartun ini memasuki domain awam di Amerika Syarikat pada 1 Januari 2024, dan tersedia dalam talian.[5]
Latar belakang
suntingMickey Mouse dicipta sebagai ganti untuk Oswald the Lucky Rabbit, sesusuk watak kartun yang dicipta oleh studio Disney awal-awal tetapi dimiliki oleh Universal Pictures ketika itu.[6] Dua filem Mickey Mouse yang pertama, iaitu Plane Crazy dan The Gallopin' Gaucho versi tanpa bunyi, gagal dicarikan pengedar. Menurut Roy O. Disney, Walt Disney mendapat ilham untuk mencipta kartun berbunyi setelah menonton filem The Jazz Singer (1927). Disney percaya bahawa kartun akan bertambah lebih menarik jika ditambah suara.[7]
Steamboat Willie sebenarnya bukanlah filem kartun pertama yang diberi audio segerak.[8] Dari Mei 1924 hingga September 1926, Inkwell Studios milik Dave dan Max Fleischer telah menghasilkan 19 buah kartun berbunyi sebagai sebahagian daripada siri Song Car-Tunes, menggunakan proses Phonofilm. Bagaimanapun, Song Car-Tunes gagal memastikan bunyinya disegerakkan sepenuhnya, walhal Steamboat Willie dihasilkan menggunakan runut klik untuk menjaga rentak pemuziknya.[9] Sebulan sebelum keluarnya Steamboat Willie, terdapat satu lagi filem kartun yang menggunakan bunyi segerak, iaitu Dinner Time oleh Paul Terry, tetapi ia kurang mendapat sambutan.
Plot
suntingFilem dimulakan dengan Mickey Mouse mengemudi sebuah bot api sepanjang sungai sambil menyiulkan lagu "Steamboat Bill " dan membunyikan tiga wisel kapal. Datangnya nakhoda kapal, Pete, mengarahkan Mickey turun dari anjungan. Mickey menjelir ke arah Pete. Pete cuba menyepak Mickey, tetapi Mickey sempat melarikan diri dan Pete sampai tersepak diri di belakang. Mickey terjatuh dari tangga, tergelincir di atas sebuku sabun di atas geladak, dan tersembam dalam baldi berisi air. Seekor burung kakaktua mentertawakan Mickey, dan Mickey pun membaling baldi ke atas kepala burung itu.
Pete yang menyaksikan gelagat Mickey di geladak, mengemudi kapal seorang diri. Dia mengunyah sebuku songel dan meludah ke udara. Ludah itu membalik dan memukul loceng kapal. Pete terhibur dan meludah lagi, tetapi kali ini ludahnya mengena mukanya, menyebabkan Pete sakit hati.
Kapal wap berlabuh di "Podunk Landing" untuk mengangkut pelbagai haiwan ternakan. Mickey menghadapi kesukaran memasangkan abah-abah pada seekor lembu kurus untuk dimuatkan ke atas kapal. Mickey mengatasi masalah ini dengan menyuap lembu itu dengan rumput kering sehingga perutnya muat dengan abah-abah. Sebaik sahaja mereka bertolak, datangnya Minnie Mouse berlari mengejar kapal sebelum ia pergi. Mickey tidak sempat nampak Minnie, tetapi Minnie tetap mengejar kapal sepanjang tebing sungai sambil memanggil nama Mickey. Mickey terdengar teriakan Minnie dan bertindak memasang cangkuk kren pada seluar kembang Minnie untuk membawanya masuk.
Setelah naik kapal, Minnie tercicir ukulele dan lembaran muzik untuk lagu "Turkey in the Straw " yang dimakan oleh seekor kambing. Mickey cuba memeras keluar ukulele dari si kambing tetapi gagal. Si kambing pening dari pergaduhan itu, dan Mickey dan Minnie mula memperalatkan badan si kambing sebagai peti nyanyi dengan memutarkan ekornya seperti kunci engkol, jadi mereka pun terhibur. Mickey menggunakan pelbagai perkakas di atas kapal sebagai genderang iringan dan "memainkan" haiwan-haiwan lain seperti alat muzik. Ini termasuk menyentak-nyentak ekor kucing, meregang-regangkan leher angsa, merentap-rentap ekor anak khinzir, menekan-nekan tetek ibu khinzir, dan memalu-malu gigi dan lidah lembu seperti gamelan untuk memainkan lagu tersebut.[10][11][12]
Nakhoda Pete tidak senang hati dengan persembahan muzik itu dan menghantar Mickey ke tugas mengupas ubi kentang sebagai hukuman. Di tempat mengupas (potato bin ), si burung kakaktua dari tadi muncul di tingkap magun dan mentertawakan Mickey lagi. Serik dengan ejekan si burung, Mickey membaling seketul kentang separuh kupas padanya sehingga ia jatuh ke dalam sungai. Mickey ketawa sambil duduk di sebelah ubi kentang, menandakan berakhirnya cerita.
Dialog
suntingWatak-watak Mickey, Minnie, dan Pete berlakon seakan-akan pantomim dengan hanya mengeluarkan bunyi-bunyi mendecit dan menggeram tanpa sebarang dialog yang dapat difahami. Satu-satunya dialog dalam filem ini dilafazkan oleh si burung kakaktua. Apabila Mickey tersembam ke dalam baldi, si burung berkata, "Hope you don't feel hurt, big boy! " (Harap awak tak terasa, budak besar!) diikuti dengan gelak tawa.[13] Ungkapan itu juga diulangi di akhir filem, dan apabila si burung terjatuh ke dalam sungai, ia berteriak "Help! Help! Man overboard! " (Tolong! Tolong! Orang terjatuh!)[14]
Rujukan
sunting- ^ "Disneyshorts.org". Diarkibkan daripada yang asal pada 2008-03-27. Dicapai pada 2010-04-20.
- ^ 1519 Second Avenue at 79th Street, now the synagogue Temple Sharaay Tefila. By 1941 it had been renamed the Colony Theater.
- ^ From The Encyclopedia of Disney Animated Shorts Diarkibkan 2008-03-27 di Wayback Machine
- ^ "Complete National Film Registry Listing | Film Registry | National Film Preservation Board | Programs | Library of Congress". Library of Congress, Washington, D.C. 20540 USA. Dicapai pada 2024-01-01.
- ^ Steamboat Willie (1928) by Walt Disney (dalam bahasa Inggeris), dicapai pada 2024-01-01
- ^ Barrier, Michael (2008). The Animated Man: A Life of Walt Disney. University of California Press. m/s. 56. ISBN 978-0-520-25619-4.
- ^ Gabler, Neal (2006). Walt Disney: The Triumph of the American Imagination (ed. 1st). Knopf Doubleday Publishing Group. m/s. 116. ISBN 9780307265968. Diarkibkan daripada yang asal pada December 26, 2023. Dicapai pada December 26, 2023.
- ^ Lazarescu-Thois, Laura (2018). "From Sync to Surround: Walt Disney and its Contribution to the Aesthetics of Music in Animation". The New Soundtrack (dalam bahasa Inggeris). 8 (1): 61–72. doi:10.3366/sound.2018.0117. ISSN 2042-8855.
- ^ Finch, Christopher (1995). The Art of Walt Disney from Mickey Mouse to the Magic Kingdom. New York: Harry N. Abrahms, Inc., Publishers. m/s. 23. ISBN 0-8109-2702-0.
- ^ Salys, Rimgaila (2009). The Musical Comedy Films of Grigorii Aleksandrov. Intellect. ISBN 9781841502823. OCLC 548664422. Diarkibkan daripada yang asal pada March 20, 2022. Dicapai pada November 21, 2020.
- ^ Gould, Stephen Jay (June 7, 1979). Dixon, Bernard (penyunting). "Perpetual Youth". New Scientist. Jil. 82 no. 1158. m/s. 832–834. ISSN 0028-6664. OCLC 964677385. Dicapai pada November 21, 2020.
- ^ The New Illustrated Treasury of Disney Songs (ed. 5th). Hal Leonard. 1998. ISBN 0-7935-9365-4. OCLC 57245282.
- ^ Mickey Mouse – Steamboat Willie (1928) | Walt Disney | 4K Remastered [FULL MOVIE] (dalam bahasa Inggeris), dicapai pada January 1, 2024
- ^ Korkis, Jim (2014). "More Secrets of Steamboat Willie". Dalam Apgar, Garry (penyunting). The Mickey Mouse Reader. University Press of Mississippi. m/s. 333. ISBN 978-1628461039.