Geiser
Geiser adalah suatu jenis mata air yang melepaskan air secara derasnya dan disertai dengan wap.
Fenomena yang agak jarang berlaku ini disebabkan oleh keadaan hidrogeologi tertentu yang hanya boleh didapati di beberapa tempat di Bumi. Semua tapak geiser secara umumnya terletak berdekatan dengan kawasan gunung berapi yang aktif di mana letusan yang berlaku adalah disebabkan oleh pemanasan aliran magma. Air permukaan mengalir turun ke kedalaman rata-rata sekitar 2000 meter (6,600 kaki) di mana ia bersentuhan dengan batu panas. Pendidihan air bertekanan tinggi ini menyebabkan air panas dan wap menyembur keluar dari lubang di permukaan Bumi (yakni sebagai suatu ledakan hidroterma).
Sekurang-kurangnya 1,283 buah geiser telah meletus di Taman Negara Yellowstone, Wyoming, Amerika Syarikat; dan rata-rata 465 geiser aktif dalam sesebuah tahun.[1][2] Aktiviti letusan geiser barangkalinya boleh terjejas atau terhenti akibat pengumpulan mineral yang berterusan dalam lohong geiser, pertukaran fungsi dengan mata air panas yang berdekatan, gempa bumi, serta campur tangan manusia.[3]
Bentuk dan fungsi
[sunting | sunting sumber]Geiser merupakan ciri muka bumi yang bersifat sementara. Ia biasanya dikaitkan dengan kawasan gunung berapi.[4] Pendidihan air menyebabkan tekanan yang dihasilkan memaksa wap dan air panas ke permukaan melalui saluran dalaman geiser. Pembentukan geiser secara khususnya memerlukan gabungan tiga keadaan geologi yang biasanya ditemui di kawasan gunung berapi.[4]
Kepanasan yang melampau
[sunting | sunting sumber]- Haba yang diperlukan untuk membentuk geiser datangnya dari magma yang perlu dekat dengan permukaan bumi,[5] dengan sebab inilah geiser sering didapati berdekatan gunung berapi atau kawasan sekitarnya. Tekanan dihadapi di tempat di mana air dipanaskan menyebabkan titik didih air menjadi lebih tinggi daripada tekanan atmosfera biasa.
Air
[sunting | sunting sumber]- Air yang diluahkan daripada sebuah geiser bergerak di bawah tanah melalui retakan yang mendalam dan bertekanan dalam kerak Bumi.
Sistem aliran
[sunting | sunting sumber]- Sistem aliran yang terdiri daripada retakan, rekahan, ruang berliang dan kadangkalanya rongga juga diperlukan agar air panas yang mendidih boleh memancut keluar untuk membentuk sebuah geiser. Ini termasuk takungan untuk menadah air ketika ia sedang panas mendidih. Geiser biasanya muncul sejajar bersama-sama gelinciran bumi.[4] Kekangan dalam sistem ini adalah penting untuk membina tekanan sebelum berlakunya letusan.
Biologi
[sunting | sunting sumber]Para saintis dahulunya menyangka tiada sebarang hidupan yang mampu hidup melebihi suhu maksimum 73 °C (163 °F) yang merupakan had atas sianobakteria kerana struktur protein selular dan asid deoksiribonukleik (DNA) di dalamnya boleh musnah jika melebihi takat ini. Suhu optimal bakteria termofil dikira lebih rendah lagi pada ketika itu sekitar 55 °C (131 °F).[6] Namun, pemerhatian yang dibuat mereka bermula sekitar tahun 1960-an mendapati bahawa hidupan boleh wujud pada suhu yang tinggi sebegini; malah ada juga sesetengah bakteria yang lebih memilih untuk hidup dalam suhu yang lebih tinggi daripada takat didih air. Terdapat banyak jenis bakteria yang telah ditemui dengan ciri-ciri ini,[7] dan enzim-enzim yang diperolehi daripada hidupan sebegini telah banyak digunakan sebagai bahan termostabil dalam pelbagai kegunaan perubatan dan bioteknologi.[8]
Lihat juga
[sunting | sunting sumber]Rujukan
[sunting | sunting sumber]- ^ Cross, Jeff. "How many geysers are found in Yellowstone?" Program and Abstracts, The 11th Biennial Scientific Conference on the Greater Yellowstone Ecosystem. October 8–10, 2012, Mammoth Hot Springs Hotel, Yellowstone National Park, Wyoming.
- ^ Lundquist, Laura (2 Ogos 2013). "Dormant Yellowstone geyser erupts". The Bozeman Daily Chronicle.
- ^ Bryan, T.S. 1995
- ^ a b c How geysers form Diarkibkan 2011-06-17 di Wayback Machine Gregory L.
- ^ Erickson, Jon (2014-05-14). Quakes, Eruptions, and Other Geologic Cataclysms: Revealing the Earth's Hazards (dalam bahasa Inggeris). Infobase Publishing. ISBN 9781438109695.
- ^ Lethe E. Morrison, Fred W. Tanner; Studies on Thermophilic Bacteria Botanical Gazette, jilid 77, no. 2 (April 1924), m/s. 171-185
- ^ Michael T. Madigan and Barry L. Marrs; Extremophiles atropos.as.arizona.edu Dicapai pada 1 April 2008.
- ^ Vielle, C.; Zeikus, G.J. Hyperthermophilic Enzymes: Sources, Uses, and Molecular Mechanisms for Thermostability. Microbiology and Molecular Biology Reviews. 2001, 65(1), 1-34.
Pautan luar
[sunting | sunting sumber]- Geysers and How They Work by Yellowstone National Park
- Geyser Observation and Study Association (GOSA)
- GeyserTimes.org
- Geysers of Yellowstone: Online Videos and Descriptions
- About Geysers by Alan Glennon
- Geysers, The UnMuseum
- Johnston's Archive Geyser Resources
- The Geology of the Icelandic geysers by Dr. Helgi Torfason, geologist
- Geysers and the Earth's Plumbing Systems by Meg Streepey
- National Geographic
- Encyclopædia Britannica. 10 (ed. ke-9). 1879. .