Pergi ke kandungan

Hipodrom

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Hipodrom Rom di bandar purba Aphrodis, Turki

Hipodrom (Yunani: ἱππόδρομος) ialah stadium lama atau arena untuk perlumbaan kuda dari zaman pemerintahan Empayar Byzantium di Konstantiniah.[1][2] Hipodrom biasanya berbentuk segi empat lonjong, dengan tempat duduk bertingkat di sepanjang arena yang mampu menampung lebih daripada 60,000 penonton.[2]

Hipodrom moden di taman tema Puy du Fou, Vendée

Hari ini, banyak hipodrom sudah dibongkarkan, sesetengahnya oleh Turki Uthmaniyah supaya batunya dapat digunakan sebagai bahan binaan selepas Konstantinopel ditawan tahun 1453.[2] Namun, beberapa runtuhan masih dapat ditemui, seperti Hipodrom Konstantinopel di Istanbul. Selain itu, perkataan ini juga digunakan untuk tempat yang serupa dan digunakan untuk sukan dan hiburan awam, seperti hipodrom di London yang dibuka pada tahun 1900 yang menggabungkan sarkas, hipodrom dan pertunjukan pentas.[3]

Etimologi

[sunting | sunting sumber]

Ia berasal daripada perkataan hippodromos dalam bahasa Yunani purba (Yunani: ἱππόδρομος), stadium untuk perlumbaan kuda dan perlumbaan kereta kuda. Kata nama itu pula berasal daripada perkataan Yunani hippos (ἵππος; "kuda") dan dromos (δρόμος; "balapan"). Hipodrom versi Rom purba, circus, adalah serupa dengan hipodrom Yunani.

Penerangan

[sunting | sunting sumber]
Hipodrom dari zaman Rom di Tirus
Rekonstruksi hipodrom purba di Olympia

Satu hujung hipodrom Yunani purba berbentuk separuh bulatan, dan hujung satu lagi persegi dengan serambi yang luas. Di hadapannya, di aras yang lebih rendah, ialah kandang kuda dan kereta kuda atau rata. Di kedua-dua hujung hipodrom terdapat tiang-tiang (Yunani termata) di mana pelumba perlu memusingi. Ini bahagian trek yang paling berbahaya dan orang Yunani meletakkan tempat keramat untuk Taraxippus (hantu penakut kuda) untuk menunjukkan tempat di mana banyak kereta kuda berlanggar. Ia dibina di lereng bukit jika boleh dan tanah yang diambil dari satu sisi digunakan untuk menambak sisi yang lagi satu.[2]

Hipodrom Yunani

[sunting | sunting sumber]
Kereta kuda biga memusingi sebatang terma: pasu amfora berfigura hitam Attica, ~500 SM, ditemui di Vulci.

Orang Yunani purba sentiasa mengajurkan perlumbaan kereta kuda dalam acara-acara sukan. Contohnya, perlumbaan berata sebahagian daripada sukan pengebumian untuk Patroclus yang Homer terangkan dalam buku ke-23 dalam Iliad beliau. Sejak perlumbaan kuda menggunakan kuadriga, iaitu kereta empat kuda, di Sukan Olimpik ke-25 (680 SM), acara ini telah menjadi acara kemuncak. Hipodrom disebutkan di semua kota di mana sukan-sukan begini dianjurkan, seperti Olympia, Delphi, Genting Korintos, Nemea, Athens, Mantinea, Delos, Sparta, Thebes dan Iskandariah.

Hipodrom yang paling ringkas dibina hanya dengan sebidang tanah lapang di mana dua tiang penanda didirikan, dipanggil terma (Yunani: termai, Latin: metae). Dua tiang ini hendaklah dipusingi oleh pelumba. Jarak antara tiangnya berbeza mengikut tempat: di Nemea ia dua stadia (lebih kurang 380 m), dan mungkin tiga stadia (lebih kurang 570 m.) di Olympia. Tidak ada bukti bahawa adanya spina, iaitu dinding yang menyambungkan kedua-dua tiangnya seperti di circus Rom. Bentuk luaran hipodrom tidak sama dengan trek lumbanya, yang berbentuk segi empat dengan salah satu sisi pendek digantikan dengan bentuk separa bulatan. Di sisi panjang trek terdapat tempat duduk untuk para juri dan majistret. Padang itu tidak ada tanaman atau apa-apa kegunaan lain; semua kemudahan ditempatkan di pinggir hipodrom.

Bentuk awal struktur ini muncul dalam Iliad oleh Homer (XXIII 257 ff.):

“Tiang beloknya cukup jelas; kau tidak akan terlepas:

Sebatang tunggul menjulang setinggi satu depa,

Kayu oak atau pain yang tidak reput dek hujan,

Dan dua batu putih disandarkan di dua sisinya.

Itu tanda separuh jalan, cukup ruang untuk memandu. […]

Nah, Achilles yang pantas menetapkannya sebagai sasaran.

Pandu kereta kudamu begitu dekat sehingga kau nyaris menggeserinya,

Akan tetapi sengetkan badanmu, dalam keretamu yang ditenun utuh,

Keluar sedikit ke kiri dan dengan cemeti dan jeritan,

Pacu kuda kananmu kuat-kuat dan kendurkan tali kekang.

Tetapi buat kuda kirimu menghampiri tiang,

Sehingga tudung roda tempamu kelihatan

Hampir tersentuh; namun elakkan menyentuh batu itu,

Supaya kamu tidak menyakiti kuda kamu dan hancurkan keretamu [...] "

– (XXIII 326–341)

“Mereka kini berdiri sebaris; Achilles menunjuk ke arah tiang belok

Jauh di padang rata, dan terduduk di sebelahnya seorang pengadil,

Phoinix, lelaki tua mulia, rakan seperjuangan ayahnya,

Untuk mengawasi perlumbaan dan hanya melaporkan yang benar.”

– (XXIII 358–361)[4][5]

Hanya beberapa tinggalan hipodrom telah dipelihara; maklumatnya yang paling penting datang daripada sumber-sumber bertulis. Setiap hipodrom nampaknya sangat berbeza dari segi saiz dan kelengkapan teknikal. Malah hipodrom Yunani yang paling terkenal, iaitu Olympia, sudah musnah. Terdapat dua tiang di sana, panjang sisi padang adalah kira-kira dua stadia (384.5 m).

Hipodrom Rom

[sunting | sunting sumber]

Di Rom purba, trek lumba kuda dipanggil circus "bulatan" dalam bahasa Latin. Perbezaan utamanya daripada hipodrom Yunani ialah spina, dinding memanjang yang pelumba perlu pusingi dalam perlumbaan. Ia juga menggantikan termai atau, bergantung pada reka bina, menghubungkan kedua-dua termai. Trek lumba kuda terawal di Byzantium bukan berasal dari zaman Yunani tetapi dari zaman Rom dan, mengikut bahasa Rom, ia dipanggil circus (sementara sumber bahasa Yunani dari Timur Rom biasanya memanggil setiap trek lumba kuda, termasuk circus, hipodrom). Beberapa sumber yang masih ada menunjukkan bahawa dalam rantau bahasa Latin, hippodromus diertikan sebagai taman yang pelan lantainya serupa dengan hipodrom Yunani.

Satu-satunya binaan yang masih ada di Barat Rom yang sumber bertulis mengenalpastikan sebagai hippodromus ialah sebahagian daripada Domus Augustana di Bukit Palatine di Rom (sering dipanggil stadium). Pelan lantainya berbeza: lengkungan di sisi pendek barat daya bukannya bulatan separa, dan seluruh kompleks mempunyai serambi anjung. Tidak ada pintu masuk untuk kuda; jadi ia tidak mungkin trek lumba kuda sebenar.

Dalam suratnya (V, 6, 32-40), Plinius Muda menerangkan sebuah taman secara terperinci yang dipanggil "hipodrom" (di sini diterjemahkan sebagai "trek menunggang"), yang dimiliki oleh estet negerinya berhampiran Città di Castello hari ini dan sudah tidak terpelihara. Kompleks ini juga direka bentuk sebagai segi empat tepat, satu sisinya digantikan dengan lengkungan.

“[Arena menunggang] terbuka di tengah-tengah dan tersergam kepada mata sebaik sahaja kamu masuk. Ia dikelilingi pokok satah (Platanus). Sempadan lurus ini [...] melengkok menjadi bulatan separa di hujungnya [...]. Di sini ia dibataskan dengan pokok sipres [...]; pada pokok-pokok barisan dalam [...] ia menerima cahaya siang yang paling cerah. Itulah sebabnya bunga mawar dapat berkembang mekar di sini dan menukarkan kenyamanan yang teduh dengan cahaya matahari yang menenangkan. Pada hujung lengkungan yang berwarna-warni dan rencam ini, ia menjadi lurus semula […]" – (V, 6, 32–34)[6]

  1. ^ "Pusat Rujukan Persuratan Melayu @ DBP". prpmv1.dbp.gov.my. Dicapai pada 2024-09-10.
  2. ^ a b c d "Hippodrome | Byzantine, Roman & Greek | Britannica". www.britannica.com (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 2024-09-10.
  3. ^ "The London Hippodrome, Hippodrome Corner, Cranbourn Street, City of Westminster". www.arthurlloyd.co.uk. Dicapai pada 2022-12-18.
  4. ^ "Homer, Iliad, Book 23, line 319". www.perseus.tufts.edu. Dicapai pada 2024-09-10.
  5. ^ "homer iliad 23". home.ubalt.edu. Dicapai pada 2024-09-10.
  6. ^ Gaius Plinius Caecilius Secundus, HG (2003-12-31). Briefe / Epistularum libri decem. DE GRUYTER. ISBN 978-3-05-005540-4.