Selesaikan matematik dalam Nota pada Mac
Dengan macOS Sequoia, anda boleh mengira nombor, menetapkan pemboleh ubah dan menilai ungkapan apabila anda menggunakan nota iCloud dinaik taraf atau nota yang disimpan pada Mac anda. Hanya masukkan formula atau ungkapan diikuti oleh tanda sama dengan semasa menaip untuk menyelesaikannya serta-merta dalam isi nota anda. Anda juga boleh menyesuaikan cara anda memaparkan hasil matematik anda, atau menyahaktifkannya.
Nota: Hasil Matematik berfungsi dengan matematik yang ditulis menggunakan angka Arab Barat dan simbol matematik biasa, atau ditaip menggunakan angka Arab (Timur & Barat) dan Devanagari, serta simbol matematik biasa.
Selesaikan ungkapan
Anda boleh menyelesaikan ungkapan matematik dengan kurungan, serta operasi asas dan saintifik.
Nota: Nota menggunakan tertib operasi standard. Sebagai contoh, eksponen diselesaikan sebelum pendaraban dan pembahagian, serta pendaraban dan pembahagian diselesaikan sebelum penambahan dan penolakan. Tambahkan kurungan di sekeliling ungkapan yang anda mahu kira dahulu.
Pergi ke app Nota pada Mac anda.
Buka nota, atau klik untuk mencipta nota baharu.
Taipkan masalah matematik, diikuti serta-merta oleh tanda sama dengan.
Sebagai contoh, “(27/3)^2=” atau “47x96=”.
Secara lalai, jawapan kelihatan sebagai cadangan. Tekan Return untuk memasukkan jawapan ke dalam baris.
Anda boleh memilih untuk menjadikan jawapan dimasukkan serta-merta selepas tanda sama dengan atau menyahaktifkannya. Lihat Pilih cara Hasil Matematik kelihatan.
Takrifkan pemboleh ubah
Nota: Pemboleh ubah tersedia apabila dicipta menggunakan abjad Latin.
Pergi ke app Nota pada Mac anda.
Buka nota, atau klik untuk mencipta nota baharu.
Untuk mentakrifkan pemboleh ubah, taipkan huruf atau perkataan, diikuti serta-merta oleh tanda sama dengan dan nilai pemboleh ubah.
Sebagai contoh, “Makan tengah hari=25” atau “x=2”.
Nota: Untuk Nota mengecam pemboleh ubah, pemboleh ubah mestilah datang sebelum (di sebelah kiri atau atas) ungkapan yang menggunakan pemboleh ubah tersebut.
Perkataan atau huruf berubah warna apabila Nota mengecamnya sebagai pemboleh ubah.
Selesaikan ungkapan dengan pemboleh ubah
Selesaikan ungkapan rumit dengan pemboleh ubah.
Pergi ke app Nota pada Mac anda.
Buka nota, atau klik untuk mencipta nota baharu.
Nota: Untuk Nota mengecam pemboleh ubah, pemboleh ubah mestilah ditakrifkan sebelum (di sebelah kiri atau atas) ungkapan yang menggunakan pemboleh ubah tersebut.
Taipkan ungkapan anda termasuk pemboleh ubah, diikuti serta-merta oleh tanda sama dengan.
Sebagai contoh, “Pas+Kayak=”
Jawapan kepada ungkapan anda muncul dalam baris selepas tanda sama dengan.
Tekan Return untuk memasukkan jawapan.
Apabila anda menukar nilai pemboleh ubah yang mendahului ungkapan, jawapan ungkapan dikemas kini secara automatik.
Petua: Anda boleh menukar nilai pemboleh ubah secara cepat dengan mendwiklik nombor, kemudian gunakan anak panah untuk meningkatkan atau menurunkan nilai pemboleh ubah.
Pilih cara Hasil Matematik kelihatan
Secara lalai, Hasil Matematik kelihatan sebagai cadangan, tetapi anda boleh memilih untuk menjadikan Nota memasukkan hasil serta-merta atau juga menyahaktifkannya.
Pergi ke app Nota pada Mac anda.
Pilih Format > Hasil Matematik, kemudian pilih satu daripada berikut:
Masukkan Hasil: Masukkan hasil serta-merta selepas tanda sama dengan.
Cadangkan Hasil: Mencadangkan hasil selepas tanda sama dengan, yang boleh dimasukkan dengan menekan Return.
Tak Aktif: Menyahaktifkan Hasil Matematik supaya ia tidak kelihatan.